Monday, April 17, 2006

Jambatan Oh Jambatan


Pak Lah telah pun mengumumkan bahawa rundingan dengan Singapura mengenai jambatan kedua yang akan menghubungkan kedua-dua negara itu dihentikan serta-merta. Ini berikutan kerana beliau bimbang rundingan tersebut akan membawa implikasi buruk terhadap negara kita pada masa akan datang. Aku rasa memang patut pun Pak Lah batalkan rundingan tersebut berdasarkan kepentingan menyeluruh dan jangka panjang negara. Memandangkan kerajaan Singapura pun begitu keras kepala dan sombong. Mereka fikir mereka hebat dan kita patut tunduk pada permintaan mereka. Selaku rakyat Malaysia, memang patut pun aku membangkang permintaan melampau daripada mereka ni.

Aku rasa memang banyak keburukannya kalau kita tunduk pada kehendak mereka. Pemberian pasir dan ruang udara pada mereka boleh mengundang seribu satu masalah. Bayangkan, selepas kita berikan pasir dan ruang udara, pelbagai permintaan susulan lagi akan diminta oleh kerajaan Singapura ni. Bak kata pepatah 'Sudah diberi betis, hendak paha pula'. Kalau dah diberi paha nak mana pulak? Pasir dan ruang udara merupakan salah satu lambang kedaulatan negara kita juga. Mana mungkin kita sesuka hati memberikan sahaja kedua-dua elemen penting dalam pembentukan sesebuah negara ataupun wilayah. Tambahan pula jika pembinaan jambatan ini diteruskan di pihak kita, ia boleh membawa implikasi undang-undang seperti permohonan injunksi yang boleh diambil oleh republik itu sekiranya projek itu hanya dijalankan oleh sebelah pihak sahaja.

Ini bukan kali pertama Singapura bersikap begini dengan negara kita. Sebelum ini isu-isu seperti isu harga bekalan air, isu Pulau Batu Putih, isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pusat, dan hal kenaikan kadar tol, mereka menampakkan sikap ego dan sukar untuk bertolak ansur. Inilah selalunya yang menyukarkan rundingan antara negara kita dan mereka.

Semalam, aku terbaca dalam akhbar, Tun Dr. Mahathir berasa sedih dan kecewa kerana pembinaan jambatan itu tidak diteruskan. Ini adalah kerana beliau terlibat dalam projek tersebut sejak dari awal lagi. Aku rasa Tun Dr. Mahathir adalah orang yang sepatutnya memahami bagaimana karenah republik itu. Mungkin beliau dapat melihat banyak kebaikan yang akan datang jika jambtan itu dibina. Tapi apakan daya, Singapura begitu angkuh dan sombong sehingga membuat permintaan yang melampau. Aku rasa tindakan Pak lah itu mungkin ada sebabnya. Bukan sewenang-wenang sahaja dia hendak buat keputusan tersebut. Bukan sehari dua punya pemikiran tetapi telah di fikirkan dengan sebaik-baiknya dan semasak-masaknya.

Apa-apa pun aku berharap agar selepas ini langkah-langkah susulan dilakukan agar dapat menampung keperluan pengangkutan diantara dua negara ini. Salah satu contoh adalah penekanan terhadap peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam seperti rel dan perkhidmatan bas dari JB ke Singapura. Segala aspek seperti kualiti perkhidmatan, masa kekerapan, kemudahan akses serta usaha-usaha galakan serta insentif yang akan diberikan. Selain itu, pengurangan kenderaan persendirian daripada menyeberangi Tambak Johor perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan trafik yang biasa berlaku. Bagi aku bukan sahaja kerajaan tetapi rakyat juga perlu mengubah sikap dan memberi kepentingan jangka masa panjang dan mementingkan kelangsungan dalam segala tindakan yang dilakukan.

1 Comments:

Blogger don se said...

Rakyat johor memang tak nak bagi pasir dan ruang udara, namun itu bukan bermaksud kita tak mahu jambatan. Sedihnya, perkara ini dputuskan terlalu awal. Sepatutnya ia dibawa ke mahkamah antarabangsa dahulu. At least, ada juga fight!.

1:06 PM  

Post a Comment

<< Home